Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan
dari kecil di dalam al-Qur’an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani
Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur’an.
Di dalam al-Qur’an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan
Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya,
“Dan ketika malaikat-malaikat berkata, ‘Wahai Mariam, Allah memilih
kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua
perempuan di semua alam’” (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu
mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam
al-Qur’an. Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada
Mariam atas perintah Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia
dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat membuat Mariam menjadi takut
lalu berkata,
“Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!’
Dia (malaikat) berkata, ‘Aku hanyalah
seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu
seorang anak lelaki yang suci.’” (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa
malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal
dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi
terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan.
Ayatnya berbunyi:
“Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada
kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya
al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada
orang-orang yang didekatkan.” (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
“Bagaimanakah aku akan ada seorang anak
lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku
seorang jalang?” (19:20)
Malaikat menjawab,
“Dia (Allah) berkata, ‘Begitulah;
Pemelihara kamu telah berkata, ‘Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami
membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada
Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan’” (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih
enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi
Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk
menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa
adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa.
Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta
daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa,
kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang
Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada
rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia
menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta
mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya:
“Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami
melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya
Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami
memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami
mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci).” (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
“Katakanlah, ‘Kami percaya kepada Allah,
dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada
Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang
diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi
daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun
antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.’” (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul
dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah
pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam
Tuhan, yang berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda
diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk
menjadi pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah
Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat yang
diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di sini,
berbunyi:
“Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak
mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya;
dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya,” (5:46) dan,
“Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka
apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: ‘Sembahlah Allah,
Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.’” (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat)
ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau
ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang
yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam
Taurat dan al-Qur’an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang
berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk
memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
“dia (Isa) berkata, ‘Aku datang kepada
kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu
sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah
Allah, dan taatlah kepadaku.’” (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang
kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat
yang mengisahkannya berbunyi:
“Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku
(Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan
memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas
aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain,
baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia
atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada
Allah dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
“Dan ketika Aku mewahyukan
pengikut-pengikut yang setia, ‘Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku’;
mereka berkata, ‘Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman
kami.’” (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
“Berkatalah pengikut-pengikutnya yang
setia, ‘Kami akan menjadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada
Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.’” (3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia
Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong
Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang percaya, jadilah
kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata
kepada pengikut-pengikut yang setia, ‘Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolong aku bagi Allah?’ Pengikut-pengikut yang setia berkata,
‘Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.’” (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut
Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan
kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka
memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
“Dan apabila pengikut-pengikut yang setia
berkata, ‘Wahai Isa putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan
kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?’
Dia (Isa) berkata, ‘Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.’
Mereka berkata, ‘Kami menghendaki untuk
memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya kami
mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah
antara para saksinya.’” (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
“Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah
kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi
kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat
(tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau yang
terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki.” (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas,
meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan
ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur’an, iaitu surah
kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa
dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat
lain. Ayat berikut menjelaskannya:
“Ketika Allah berkata, ‘Wahai Isa putera
Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu,
apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata
kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ….. dan apabila kamu
mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk
burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor
burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang
sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku’ ….. lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka
berkata, ‘Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.’” (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu
mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih
mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan
membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak
Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah
orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke
langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib.
Baginda telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah
tempat lain yang tidak diceritakan di dalam al-Qur’an. Besar kemungkinan
baginda telah melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
“Apabila Allah berkata, ‘Wahai Isa, Aku
akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan
kamu daripada orang-orang yang tidak percaya …..’” (3:55)
“Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas
mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan
aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas
segala sesuatu.” (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum
Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah
mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan
sahaja. Firman-Nya:
“ucapan mereka, ‘Kami telah membunuh
al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.’ Tetapi mereka tidak
membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang
ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya
benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan
mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya,
yakinlah.” (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap
Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam al-Qur’an, iaitu baginda
akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk
artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam
Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah
berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah
menubuhkan sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam
agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
“Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka – Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka” (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk
mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana
kelahiran yang luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat
demikian telah terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir.
Firman-Nya:
“Merekalah orang-orang yang tidak percaya
(kafir), yang berkata, ‘Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera
Mariam’” (5:17), dan
“orang-orang Kristian berkata, ‘Al-Masih
ialah putera Allah.’ Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut
ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka. Allah memerangi
mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?” (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk
menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan
memakan makanan, berbunyi:
“Al-Masih, putera Mariam, hanyalah
seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang
wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana
Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah
bagaimana mereka berpaling.” (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi
Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah “pintu
kecil” untuk mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan
tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di bahagian belakang
badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada
orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu
mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka.
Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan
akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di
sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan
ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan ibunya
adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
“Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu
mengatakan kepada manusia, ‘Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan
selain daripada Allah’?” (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
“Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku
untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku
mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di dalam
jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib.” (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
“Aku hanya mengatakan kepada mereka apa
yang Engkau memerintahkan aku dengannya: ‘Sembahlah Allah, Pemelihara
aku dan Pemelihara kamu.’ Dan aku seorang saksi ke atas mereka selama
aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau
Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu.” (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di
akhirat atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai
sambutan kaumnya terhadap al-Qur’an. Jawapan baginda berbunyi:
“Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur’an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan.” (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran
al-Qur’an tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali
kepada ajaran al-Qur’an.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar